Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas melakukan lawatan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ke Kuarters Pga ketika di Briged Tengah PGA,Cheras, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua Ahli Parlimen berhubung cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan menerangkan kepada semua pemegang taruh tentang keperluan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan semula akta itu untuk mengawal kadar jenayah.

“KDN dan polis sekarang bersedia untuk mengadakan sesi libat dengan seberapa ramai wakil rakyat yang ada untuk menunjukkan bagaimana keterbukaan yang kita buat melibatkan pelbagai pihak melibatkan pelbagai pemegang taruh termasuk dalam perkara-perkara menambah baik akta POCA,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan lawatan ke Kuarters PGA bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 4 dan 15B POCA ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan Persekutuan kerana merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.

Kelmarin, sesi libat urus dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Delegasi KDN diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, manakala delegasi PDRM diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. – MalaysiaGazette