Kad pelajar Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam perkongsian di Facebook, Ismail Sabri berkata, beliau tidak sangka menjadi mahasiswa semula.

Beliau turut berkongsi kad pelajar sebagai mahasiswa UUM yang diperoleh semalam.

“Rasmi, hari ini saya jadi pelajar. Tak sangka tua-tua masih jadi pelajar.

“Inilah yang dikatakan belajar sepanjang hayat,” katanya yang merupakan graduan jurusan undang-undang di Universiti Malaya pada tahun 1980.

Perkongsian Ismail Sabri mendapat ucapan tahniah dalam kalangan netizen termasuk pelajar-pelajar UUM.

Ada di antara netizen yang berpesan ‘belajar rajin-rajin …jangan ponteng kelas.

Seorang pemilik akaun Lola Born Zhye berkata: Ini menjadikan kami ni bersemangat untuk berjuang sambung belajar”.

Tidak kurang yang mengusik “nanti cuti sem balik naik bas pancaran matahari”. – MalaysiaGazette