Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Akibat keengganan membayar hutang RM2,500, seorang lelaki warga Myanmar dibunuh rakannya dalam satu kejadian di Kepong, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, Balai Polis Kepong menerima mengenai laporan kematian mangsa pada jam 4 pagi daripada pegawai perubatan sebuah hospital swasta.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa mangsa dan empat rakan sedang minum arak di kawasan gelanggang bola keranjang sebelum berlaku salah faham sesama mereka.

“Dalam insiden itu, kami percaya kesemua mereka dalam keadaan mabuk sebelum salah seorang suspek menikam di bahagian leher mangsa menggunakan serpihan botol arak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di hari ini.

Mangsa yang parah kemudian telah dikejarkan ke hospital oleh rakan yang lain sebelum mereka menghilangkan diri.

Bertindak hasil maklumat itu, sepasukan anggota jenayah berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur melakukan dua serbuan pada jam 11 pagi, hari yang sama selepas kejadian di Bandar Manjalara dan Cheras, Kuala Lumpur.

Hasil serbuan pasukan polis berjaya membuat tangkapan ke atas empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20-an yang disyaki terlibat di sebalik jenayah bunuh itu.

Mereka kini telah direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Kesemua suspek didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri. – MalaysiaGazette