KUALA LUMPUR – Prestasi ekonomi Malaysia pada 2023 adalah seiring dengan negara Asean lain yang menunjukkan pertumbuhan sederhana pada tahun itu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan, Singapura berkembang 1.1 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2022, Indonesia mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus berbanding 5.3 peratus tahun sebelumnya manakala Filipina pada 5.6 peratus berbanding 7.6 peratus pada 2022.

“Negara maju lain turut mencatatkan pertumbuhan sederhana seperti Korea Selatan 1.4 peratus (2022: 2.6 peratus) dan United Kingdom pada 0.1 peratus (2022: 4.3 peratus).

“Walau bagaimanapun, China terus berkembang pada 5.2 peratus berbanding 3.0 peratus pada 2022 dan Amerika Syarikat meningkat 2.5 peratus berbanding 1.9 peratus pada 2022,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Prestasi Ekonomi Malaysia Pada Suku Tahun Keempat 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Prestasi ekonomi Malaysia meningkat kepada 3.7 peratus pada 2023 berbanding 8.7 peratus pada tahun sebelumnya dipacu oleh sektor perkhidmatan dengan pertumbuhan 5.3 peratus, diikuti sektor pembinaan (6.1 peratus) dan pembuatan (0.7 peratus).

Sektor pembuatan bertumbuh pada kadar yang lebih perlahan berikutan asas yang lebih tinggi pada tahun sebelumnya dan permintaan luaran global yang lemah.

Dari segi permintaan dalam ekonomi, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan penggunaan akhir swasta atau perbelanjaan isi rumah yang meningkat sebanyak 4.7 peratus, diikuti oleh pembentukan modal tetap kasar (PMTK) pada 5.5 peratus dan perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan sebanyak 3.9 peratus).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan penggunaan akhir swasta atau perbelanjaan isi rumah, yang menyumbang 58.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berkembang sebanyak 4.2 peratus pada suku keempat, disokong oleh peningkatan perbelanjaan dalam pengangkutan (10.1 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (5.9 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (5.6 peratus).

“Dari segi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, prestasi keseluruhan menunjukkan penurunan sebanyak 3.0 peratus (ST3 2023: -0.7 peratus),” katanya.

Beliau berkata, PMTK atau pelaburan dalam aset tetap, berkembang 6.4 peratus pada suku keempat manakala perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat 7.3 peratus didorong oleh perbelanjaan lebih tinggi dalam barangan dan perkhidmatan.

Dari segi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat 0.6 peratus, katanya.

Mohd Uzir berkata, eksport dan import masing-masing merekodkan penurunan 6.3 peratus dan 2.9 peratus pada suku keempat.

“Oleh itu, eksport bersih terus merosot sebanyak 35.6 peratus berbanding penurunan 22.7 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, bagi prestasi keseluruhan 2023, eksport dan import masing-masing merekodkan penurunan sebanyak 7.9 peratus dan 7.6 peratus, dengan eksport bersih mencatatkan penyusutan 11.3 peratus. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast