Akid Muqri memerlukan bantuan segera bagi menjalani pembedahan jantung berlubang.

BUKIT MERTAJAM – Dua kanak-kanak lelaki berasal dari Johor merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan jantung berlubang yang dihadapi mereka.

Lim Jia Liang, 7, dari Segamat manakala Akid Muqri Shazwan, 9 dari Johor Bahru memerlukan dana berjumlah RM190,000 bagi pembedahan tersebut.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Akid Muqri yang lahir tidak cukup bulan turut dikesan dengan masalah jantung semasa dalam kandungan.

“Akid Muqri telah menjalani pembedahan jantung pada usia tujuh bulan dan dua tahun.

“Sepatutnya dia dijadualkan menjalani  pembedahan berikutnya ketika berusia lima tahun, tetapi perut dan diafragmanya terlalu dekat dengan jantung menyebabkan pembedahan ditangguhkan beberapa kali.

“Masalah jantung kompleks mengakibatkan anak kepada pasangan Shazwan Sairan, 37, dan Noor Fadzlin Johar, 36 mengalami kekurangan oksigen dalam jangka masa panjang.

Jia Liang perlu menjalani pembedahan membuka ikatan pembalut arteri pulmonari dan menutup lubang di jantungnya.

“Paras oksigen dalam darahnya hanya sekitar 60 hingga 85. Dia akan sesak nafas apabila berjalan lama selain bibir dan jarinya menjadi kebiruan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selain masalah itu, Akid Muqri turut mempunyai masalah perkembangan fizikal, pertumbuhan mental dan lambat dalam pelajaran.

Dalam pada itu, Sui Hau berkata, seorang lagi pesakit, Jia Liang mempunyai harapan untuk membesar dan menjalani kehidupan seperti rakan-rakan lain yang sihat.

“Dia disahkan mengalami masalah jantung semasa dalam kandungan. Jia Liang mengalami masalah ventrikel kanan double-socket (DORV) dan ventricular septal defect (VSD) serta arteri pulmonari.

“Ketika berusia dua bulan, Jia Liang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman dan jantungnya berhenti seketika kerana kesilapan memberi ubat.

“Dia bagaimanapun bernasib baik kerana berjaya diselamatkan sebelum menjalani pembedahan jantung ketika berusia empat bulan,” katanya.

Sui Hau berkata, pada penghujung tahun lalu, doktor memaklumkan Jia Liang perlu segera menjalani pembedahan membuka ikatan pembalut arteri pulmonari dan menutup lubang di jantungnya.

“Namun, dia memerlukan bantuan orang ramai untuk menjalani pembedahan itu apabila ibu bapanya mempunyai banyak komitmen termasuklah anak perempuan berumur tiga tahun.

“Sehubungan itu orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan buat Jia Liang dan Akid Muqri, boleh menyalurkan terus ke dalam akaun One Hope Charity & Welfare 3193433435 (Public Bank Berhad),” katanya. – MalaysiaGazette