Tular seorang lelaki berada di belakang sebuah treler di Lebuh Raya Linkedua menghala ke Senai.

KULAI –  Tindakan berani seorang lelaki berpaut pada belakang treler yang sedang  bergerak di Lebuh Raya Linkedua menghala ke Senai di sini semalam, mengundang padah apabila dia kini dikesan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, kejadian itu disedari pihaknya selepas video tular di media sosial.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di Kilometer 35 Lebuh Raya Linkedua menghala ke Senai pada pukul 10 pagi Khamis lalu.

Ketika kejadian, pemandu lori Scania dari Kangkar, Pulai menghala ke kawasan Perindustrian Senai mungkin tidak menyedari terdapat lelaki berpaut di belakang kenderaan dipandunya.

“Pemandu terbabit didakwa hanya menyedari perkara itu setelah rakannya menghantar video viral berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Seng Lee berkata, pemandu lori berumur 36 tahun itu datang ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai bagi siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes diminta tampil di IPD Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 0167573507.

Kes disiasat mengikut Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette