Pelancaran penerbangan perdana Batam - Kuala Lumpur di Lapangan Hang Nadim, Batam Indonesia semalam.

BATAM – Indonesia merupakan antara destinasi pelacongan utama yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia apatah lagi hubungan budaya dan ketersambungan yang dikongsi antara kedua-dua negara.

Mengambil kira perkembangan pesat itu, syarikat penerbangan popular, Batik Air tampil dengan melancarkan laluan terbaru destinasi percutian popular, Batam di Kepulauan Riau ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Batam bermula 16 Februari ini.

Wartawan MalaysiaGazette yang berada di majlis pelancaran penerbangan perdana pertama antara Batam – Kuala Lumpur sempat menemui Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Hang Nadim, Pikri Ilham Kurniansyah, beliau sangat teruja dengan kerjasama dengan Batik Air.

Kata beliau, selain warga Singapura, rakyat Malaysia memilih Batam sebagai destinasi pelancongan dan angka itu terus melonjak tinggi selepas pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Hang Nadim, Pikri Ilham Kurniansyah

“Kita sangat menghargai inisiatif dan usaha dilakukan oleh Batik Air dengan memberikan perkhidmatan penerbangan antara Batam – KUL yang beroperasi tiga kali seminggu, sambutan sungguh mengalakkan. Kita optimis dan menjangkakan sekurang-kurangnya dua juta pelancong Malaysia ke sini tahun ini.

“Kami memilih Batik Air sebagai rakan strategik sebagai jaringan penerbangan dari Batam hingga ke seluruh dunia. Ini akan memberi peluang kepada Lapangan Terbang Hang Nadim dan KL berkembang bersama-sama syarikat penerbangannya sekali.

“Perkhidmatan Batik Air ke Batam memberikan peluang kepada rakyat Malaysia berkunjung ke sini dengan mudah. Bukan rakyat Malaysia tetapi juga rakyat Indonesia bakal melancong ke Batam dan KL sahaja tetapi ke seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Hang Nadim, di sini.

Kata beliau, jangkaan dua juta pengunjung dari Malaysia ke Batam pasti dicapai tahun ini dengan kehadiran rakan strategik seperti Batik Air.

Rakan strategik Lapangan Terbang Hang Nadim, Batik Air.

“Sebelum ini, Malindo ada memberikan perkhidmatan laluan Batam ke Subang namun kini buat kali apabila ianya melalui laluan Batam – KUL, ramai akan memilih laluan yang turut menghubungkan ke negara lain-lain melalui penerbangan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pengenalan penerbangan terus dari Batam ke Kuala Lumpur merupakan langkah strategik untuk mengembangkan kehadiran syarikat penerbangan itu di pasaran utama.

“Laluan baharu ini membolehkan penumpang dari Batam menyambung ke rangkaian penerbangan Batik Air yang semakin berkembang ke 53 destinasi merentasi 22 negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” ujarnya.

Batik Air bakal beroperasi tiga kali seminggu dengan pesawat Boeing 737.

Laluan baharu ini menekankan komitmen mengembangkan pertumbuhan rangkaiannya di Asia Tenggara sambil memenuhi peningkatan permintaan untuk perjalanan intraserantau.

Indonesia menduduki tempat kedua dalam 10 pasaran tertinggi di ASEAN yang menjana pelancong ke Malaysia, menyumbang 2.8 juta ketibaan antara Januari dan November 2023.

Laluan baharu itu dijangka merancakkan lagi pelancongan antara kedua-dua negara, selaras dengan sasaran Malaysia menerima 27.3 juta pelancong pada 2024 dan menjana pendapatan RM102.7 bilion.

Menarik di Batam

Difahamkan Batam merupakan sebuah pulau ‘kecil tetapi sibuk’ yang terletak hanya 20 km dari Singapura dan 25 km dari Johor di Malaysia dengan kedudukan strategik pulau ini menjadikan ia mudah diakses sebagai destinasi kegemaran untuk pelancongan serta perniagaan.

Dengan kedudukan strategik ini, Batam meningkat naik sebagai sebuah hab industri dengan pembangunan pesat kilang-kilang elektronik, industri pembaikan kapal air dan berkembang, serta sektor perkhidmatan minyak lebih besar.

Hanya sebilangan kecil pakar datang ke sini untuk bekerja yang selebihnya sebagai pusat hiburan khasnya untuk bermain golf serta penggemar makanan laut selain aktiviti pantai. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast