Polis Pulau Pinang bongkar apartmen dijadikan makmal proses dadah dalam serbuan di Tanjong Tokong Sabtu lalu.

GEORGE TOWN – Baru lima bulan dibebaskan dari penjara, seorang penganggur sekali lagi ditahan atas kesalahan dadah.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan daei Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang memberkas lelaki berusia 48 tahun itu di tapak parkir motosikal apartment yang disewanya di Tanjung Tokong di sini pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamed berkata, berpandukan maklumat suspek, polis menyerbu satu unit apartment yang dipercayai dijadikan sebagai makmal memproses dan pengedaran dadah.

Mohamad Usuf (dua dari kiri) melihat dadah yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Jelas Mohamad Usuf Jan, hasil siasatan mendapati suspek menjalankan kegiatan itu berseorangan dan menggunakan motosikal sebagai tempat simpanan serta pengangkutan untuk menghantar bekalan dadah kepada pengedar serta penagih di negeri ini.

Menerusi serbuan itu, polis menemui sebanyak 98 bungkusan plastik dadah berisi heroin seberat 13.7 kilogram, 22 bungkusan plastik syabu (600 gram), peralatan dan perkakasan bagi pemprosesan dadah.

“Turut dirampas ialah tiga plastik lutsinar berisi kafein seberat 19.3 gram, bahan kimia dan wang tunai sebanyak RM15,500,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM203,000 dan kita juga mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita harta suspek termasuk kereta serta motosikal.

Mengulas lanjut, Mohamad Usuf berkata, suspek yang baharu keluar dari penjara pada September tahun lalu mengaku mempelajari cara-cara memproses dadah itu daripada rakannya ketika menjalani hukuman bermula tahun 2017.

Suspek jadikan motosikal sebagai tempat simpanan dadah serta pengangkutan untuk menghantar bekalan kepada penagih.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada pengambilan dadah dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek yang juga warga tempatan direman selama tujuh hari sehingga 24 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette