Papan tanda Woodlands untuk ke Singapura. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Majoriti rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei merupakan pekerja mahir atau separa mahir yang meraih gaji kasar bulanan tertinggi sebanyak SD$18,000 dan BN$15,000.

Selain dua negara itu, diaspora Malaysia juga memilih Jepun, Australia dan Arab Saudi.

Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam pada tahun 2023 dan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara: Singapura pada tahun 2022 dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga mendapati, 38 peratus diaspora Malaysia di Singapura adalah golongan bekerja manakala di Brunei sebanyak 50 peratus.

Kaum Cina dan Melayu didapati mendominasi diaspora di kedua-dua negara itu dengan pekerja dari Johor, Kedah dan Perak paling ramai ke Singapura.

Pekerja Malaysia yang bekerja di Brunei pula didominasi dari Sarawak, Sabah dan Johor.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebih daripada separuh rakyat Malaysia bekerja dengan kelulusan SPM atau setara bekerja sebagai pekerja mahir dan separa mahir di kedua-dua negara ini.

Manakala pekerja yang mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dan bekerja sebagai pekerja mahir di kedua-dua negara ini, majoritinya berumur 25 tahun hingga 34 tahun.

Beliau berkata, hampir separuh daripada diaspora Malaysia yang berada di Brunei Darussalam berumur di dalam lingkungan 40 tahun dan ke atas berbanding hanya 32.0 peratus diaspora Malaysia di Singapura berumur di dalam lingkungan yang sama.

Antara faktor utama kenapa rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di Singapura atau
di BruneiĀ  adalah peluang pekerjaan dan persekitaran kerja yang baik, gaji
yang lebih lumayan serta kadar pertukaran mata wang Singapura dan Brunei
Darussalam yang tinggi (Singapura dan Brunei Darussalam mengikat nilai matawang
yang sama di bawah perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) 1967).

Keutamaan sektor pilihan mereka adalah sektor kerajaan (35.2%) kerana jaminan kestabilan kerjaya, bekerja di luar negara (30.0%) kerana gaji yang lumayan dan dapat menggunakan kemahiran mereka, menjadi usahawan (18.7%) dan akhirnya sektor perindustrian (16.1%) di Malaysia.

“Analisis terperinci yang dibuat menerusi kajian 2022 dan 2023 menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai peluang dan ruang untuk terus memilih bekerja di luar negara.

“Pendidikan Malaysia diiktiraf di negara luar sehingga membolehkan pekerja dengan tahap pendidikan minimum SPM berjaya meningkatkan kerjaya mereka dari pekerjaan berkemahiran rendah kepada pekerjaan separa mahir atau mahir di Singapura dan Brunei.

“Pekerja dengan kelulusan tertiari di Malaysia turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, ini bukan sahaja memberikan peluang kerjaya yang lebih luas kepada rakyat Malaysia tetapi juga pengiktirafan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia kerana dapat melahirkan pekerja yang diiktiraf secara global,” katanya.

Jelas beliau lagi, walaupun situasi itu akan menunjukkan impak negatif terutama isu penghijrahan golongan cerdik pandai (brain drain) Malaysia kehilangan tenaga pakar dan juga kerugian kewangan kerana majoriti yang bekerja di luar negara adalah hasil daripada sistem pendidikan Malaysia.

Malaysia sewajarnya tidak boleh menjadikan isu brain drain itu sebagai isu yang negatif tetapi, menukarkan kepada konsep brain circulation, iaitu diaspora Malaysia itu akhirnya akan kembali semula ke Malaysia selepas satu tempoh masa yang dirancang oleh mereka.

“Terdapat keperluan kritikal untuk Kerajaan Malaysia mengubah struktur pasaran buruh supaya dapat bersaing untuk mendapatkan pelabur asing serta mengekalkan dan menarik guna tenaga untuk terus kekal di dalam negara.

“Keupayaan untuk mengubah struktur pasaran buruh Malaysia bukan sahaja akan dapat meningkatkan ekonomi tetapi secara tidak langsung akan mempunyai kesan ke atas kadar mata wang ringgit Malaysia, gaji, automasi dan mekanisasi industri jangka masa panjang,” tambahnya. – MalaysiaGazette