Gambar hiasan.

Oleh: Siti Nurhamizah Mohd Rauzan

PANAS baran adalah keadaan di mana seseorang berasa sangat marah dan tidak terkawal, seterusnya membawa kepada tingkah laku agresif dan ganas. Banyak perkara boleh menyebabkan panas baran menurut psikologi seperti konflik, tekanan hidup, kekecewaan, trauma atau pembelajaran sosial. Panas baran juga boleh menjadi tanda masalah kesihatan mental seperti kemurungan, gangguan bipolar, gangguan letupan sekejap-sekejap (IED), gangguan personaliti. Antara faktor lain yang turut menyumbang kepada sikap panas baran ini adalah kesan penagihan dadah atau alkohol dan keturunan atau faktor genetik.

Menurut Islam, panas baran adalah sifat yang tidak disukai oleh Allah SWT kerana ia boleh merosakkan hubungan antara manusia dan mengundang murka Allah SWT. Panas baran berbeza dengan emosi marah. Perasaan marah ialah emosi yang diekspresi secara semulajadi apabila rasa terancam, dizalimi atau tidak puas hati dengan sesuatu.

Perasaan marah ini juga perlu dalam beberapa situasi misalnya untuk mempertahankan diri, agama dan menyelesaikan masalah tertentu. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kemarahan itu berasal dari syaitan, dan syaitan itu diciptakan dari api, sedangkan api itu dapat dipadamkan dengan air. Maka apabila salah seorang di antara kamu marah, hendaklah ia berwudhu.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Sikap panas baran atau cepat melenting ini menimbulkan pelbagai kesan negatif, baik bagi diri sendiri mahupun orang lain. Ia boleh melukakan hati sesiapa sahaja yang terkena tempiasnya bahkan boleh mengeruhkan lagi keadaan buruk yang sedia ada. Antara kesan terhadap diri sendiri ialah;
1) Mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, gangguan bipolar, gangguan personaliti.
2) Berisiko mengalami masalah kesihatan fizikal seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung, atau strok.
3) Boleh mengalami kesukaran dalam hubungan sosial seperti kehilangan kawan, pasangan, atau keluarga.
4) Mengalami isu yang berkaitan dengan undang-undang, seperti didakwa melakukan keganasan, penderaan, atau pembunuhan.

Tingkah laku panas baran ini memberi kesan yang sangat mendalam terhadap individu yang menjadi tempat amarah dilampiaskan. Antara kesannya;
1) Mengalami kecederaan fizikal atau emosi akibat tindakan ganas atau penderaan dari pelaku.
2) Mengalami ketakutan, kebencian atau dendam kesumat terhadap pelaku panas baran.
3) Mengalami gangguan psikologi seperti trauma, stress atau kemurungan malah berisiko mendapat penyakit mental yang lebih ekstrem kesan daripada mekanisme pertahanan diri, seperti Schizophrenia atau Multiple Personality Disorder.
4) Mengalami pengaruh negatif, seperti meniru tingkah laku panas baran atau mengelakkan hubungan dengan pelaku panas baran.

Berita yang bertarikh 15 Disember 2023 berkenaan Pegawai Kanan Polis yang ditahan kerana kes langar pelajar depan sekolah menjadi bukti sikap panas baran memakan diri sendiri. Menurut berita yang ditulis oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri, pemberita Berita Harian Online, Pegawai kanan polis dari PDRM Kontinjen Kedah itu ditahan berhubung insiden kemalangan yang mengakibatkan kematian pelajar Tingkatan Lima selepas motosikal ditunggang remaja itu dilanggar kereta dipandu pegawai polis berkenaan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, Perak. Mangsa iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun tersebut meninggal dunia di tempat kejadian manakala pegawai polis itu tidak cedera.

Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati sebab kematiannya adalah kecederaan bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya. Kakak mangsa mendedahkan, isteri pegawai polis berkenaan tampil memohon maaf atas perilaku suaminya yang baran dan tidak dapat menahan sabar apabila mendengar mangsa menekan motor dengan kuat. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sikap panas baran ini ternyata memberi impak yang sangat besar bagi mereka yang terlibat. Justeru itu, Islam mengajarkan kita untuk menahan kemarahan, memaafkan kesalahan orang lain, dan berzikir kepada Allah SWT untuk menenangkan hati sepertimana
dalam firman-Nya di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 134;

{الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ}

“Orang-orang yang bertakwa adalah mereka yang menafkahkan (harta mereka) baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan”.

Panas baran ini adalah penyakit yang boleh dirawat namun memerlukan kesedaran dan usaha dari individu yang mengalaminya. Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini adalah:
1) Mengenal pasti punca-punca kemarahan dan mencari cara untuk menyelesaikannya secara positif.
2) Mengamalkan teknik-teknik relaksasi contohnya bernafas dalam-dalam sambil berselawat, bermeditasi atau bersenam.
3) Mengelakkan situasi atau orang yang boleh memprovokasi kemarahan.
4) Jika sedang marah, amalkan sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi SAW iaitu duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk, mengambil wudhu, elakkan diri daripada membuat sebarang keputusan yang besar dan diamkan diri daripada berkata-
kata atau melakukan sebarang perbuatan.
5) Mencari bantuan profesional seperti kaunselor, psychologist, atau pengamal perubatan Islam sekiranya panas baran itu di tahap mengganggu kehidupan seharian atau membahayakan diri sendiri dan orang lain.
6) Membaca ayat-ayat Al-Quran, berdoa, beristighfar serta berzikir untuk mendapatkan ketenangan dan perlindungan dari Allah SWT.

Kesimpulannya, jelas dapat kita lihat bahawa individu boleh terjejas akibat kemarahan yang tidak terkawal, justeru menyebabkan kerosakan fizikal, emosi atau sosial. Kebiasannya, bertindak balas terlalu agresif dan impulsif terhadap sesuatu keadaan boleh merugikan diri
sendiri, menatijahkan keputusan yang tidak bijak dan mencipta hubungan yang tegang. Oleh itu, adalah sangat penting untuk menguruskan emosi dengan bijak dan mencari cara untuk mengatasi masalah dengan pemikiran yang tenang supaya tidak terjerumus ke dalam keadaan yang
merugikan atau ‘memakan diri sendiri’.

Penulis adalah penuntut di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)