Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – BMI Country Risk & Industry Research (BMI), sebuah produk di bawah Fitch Solutions Group Ltd telah membuat semakan menaik kepada unjuran untuk harga purata kontrak niaga hadapan minyak sawit bulan ketiga yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2024 kepada RM3,750 setan berbanding RM3,515 setan sebelum ini.

BMI melalui satu kenyataan berkata, ini sebahagiannya, mencerminkan pengukuhan harga yang berterusan yang bermula pada suku ketiga (S3) 2023, yang menyaksikan kontrak itu meningkat sebanyak 23.2 peratus antara permulaan Jun dan permulaan September.

Pada masa yang sama, harga minyak sawit diniagakan lebih kurang dalam jajaran lima peratus daripada RM3,851 satu tan (+/- RM193 satu tan) sejak pertengahan 2022.

Semakan semula unjuran itu, bagaimanapun, menunjukkan penurunan harga daripada paras semasanya hingga 2024, dengan kontrak sawit telah didagangkan pada paras purata RM3,830 setan sehingga 14 Feb 2024.

“Dalam jangka pendek, kami menganggap harga minyak sawit dihadkan berdasarkan trend harga dalam kompleks minyak makan yang lebih luas, jangkaan bagi penuaian kacang soya yang lebih besar di pengeluar utama termasuk permintaan yang lemah di China.

“Lebih-lebih lagi, kesan El Nino, yang dijangka berkurangan antara April serta Jun 2024, terhadap keadaan penanaman di Indonesia dan Malaysia dianggap tidak ketara,” kata BMI.

Sementara itu, jangkaan peralihan kepada keadaan La Nina antara Jun dan Ogos 2024 boleh mempengaruhi sentimen pasaran, menguji sokongan harga.

BMI berpendapat purata harga minyak sawit akan menyusut pada 2025 berbanding 2024, mencerminkan asas yang tinggi serta potensi La Niña dalam menyokong penanaman kelapa sawit, tetapi pada masa yang sama telah membuat semakan menaik pada harga ramalannya, kini mengunjurkan bahawa kontrak itu akan didagangkan pada paras purata RM3,500 satu tan.

Bagaimanapun, ia juga mengukuhkan unjuran harganya untuk memperlihatkan kemerosotan dalam kadar pertumbuhan eksport minyak sawit di Indonesia dan Malaysia, yang mencerminkan komitmennya terhadap mandat campuran biodiesel domestik yang lebih tinggi serta peralihan dalam pemacu pertumbuhan pengeluaran kelapa sawit di kedua-dua pasaran.

“Pada pandangan kami, pasaran minyak sawit dunia akan menyaksikan lebihan pengeluaran sebanyak 2.0 juta tan menjelang musim 2023/24, paras terendah dalam tiga musim.

“Kami menjangkakan lebihan ini akan bertambah sehingga jangka sederhana, dengan kemungkinan lebihan 2.5 juta tan metrik menjelang musim 2024/25 dan peningkatan musim ke musim sebanyak 0.2-0.3 juta tan metrik selepas itu,” katanya.

Dari segi harga, ia mengekalkan harga purata minyak sawit tahunan akan menurun sepanjang tempoh ramalannya, mengunjurkan harga purata RM3,400 setan pada 2026, RM3,300 setan pada 2027 dan RM3,205 setan pada 2028.

Faktor risiko kepada prospeknya termasuk pembangunan dasar biodiesel, evolusi harga minyak makan alternatif dan usaha pengeluaran yang mampan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast