Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah Selangor), Norlela Ismail menunjukkan gambar daging babi yang berjaya dirampas ketika sidang media mengenai kejayaan menyekat penyeludupan mercun, barang elektrik, minuman keras, daging babi, dan ‘airsoft pistol’ di Pekarangan Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Klang. Foto SYADILA AMARI, 20 FEBRUARI 2024.

PELABUHAN KLANG – Empat kontena yang berisi 96,000 kilogram (kg) daging khinzir bernilai RM2.7 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu operasi di Pelabuhan Utara di sini pada 13 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, daging khinzir itu dipercayai tidak mempunyai permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Modus operandi sindiket dengan mengikrar tidak benar dagangan sebagai furniture accessories melalui Borang Manifes bagi mengelak dikesan JKDM,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Norlela juga berkata, kes itu sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar.

“Tertuduh juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, JKDM juga berjaya menumpaskan cubaan untuk menyeludup 17,000 airosoft pistol bernilai RM4.4 juta dari sebuah kontena yang dirampas di Pelabuhan Barat pada 14 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah Selangor), Norlela Ismail menunjukkan ‘airsoft pistol’ yang berjaya dirampas ketika sidang media mengenai kejayaan menyekat penyeludupan di Pekarangan Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Klang. Foto SYADILA AMARI, 20 FEBRUARI 2024.

“Sejumlah airsoft pistol ini dipercayai tidak mempunyai permit import daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM1.8 juta, manakala jumlah duti atau cukai yang terlibat berjumlah RM2.6 juta,” katanya.

Katanya lagi, kes itu sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast