KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia kembali positif pada Januari 2024, mencatatkan peningkatan dua digit 13.3 peratus, berbanding Januari 2023.
Jumlah dagangan meningkat 13.3 peratus kepada RM234.7 bilion, disumbangkan oleh kedua-dua eksport (+8.7%) kepada RM122.4 bilion dan import (+18.8%) kepada RM112.3 bilion.
Prestasi eksport Malaysia menaik pada Januari 2024 selaras dengan peningkatan eksport domestik dan eksport semula.
Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport domestik bernilai RM94.7 bilion, menyumbang 77.4 peratus kepada jumlah eksport meningkat 10.1 peratus dan eksport semula berjumlah RM27.7 bilion, meningkat 4.1 peratus berbanding Januari 2023.
Sementara itu, lebihan dagangan menguncup 44.2 peratus kepada RM10.1 bilion, merupakan lebihan dagangan ke-45 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Eksport yang lebih disumbangkan oleh kenaikan terutamanya ke Indonesia (+RM2.1 bilion) diikuti oleh Vietnam (+RM2.1 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.4 bilion), Taiwan (+RM1.3 bilion) dan Australia (+RM1.3 bilion).
Peningkatan eksport selaras dengan kenaikan oleh produk petroleum (+RM2.9 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.4 bilion); dan produk besi & keluli (+RM1.4 bilion).
Sementara itu, import yang lebih tinggi pula disumbangkan terutamanya dari Singapura (+RM5.5 bilion) diikuti oleh China (+RM3.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.0 bilion), Taiwan (+RM1.2 bilion) dan Brazil (+ RM1.1 bilion).
Peningkatan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM4.4 bilion); produk petroleum (+RM2.6 bilion) dan jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.7 bilion).
Berbanding Disember 2023, prestasi eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4 peratus, 5.3 peratus dan
4.3 peratus.
Manakala, imbangan dagangan mencatatkan penguncupan 13.8 peratus. – MalaysiaGazette