KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) bersetuju mengenai keperluan adanya kod etika untuk wartawan susulan pelancaran Kod Etika Kewartawanan Malaysia oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini.
Bagaimanapun menurut Geramm, ia harus diatur dan dikawal oleh industri media bukan hanya di tangan kerajaan.
“Memastikan kebebasan media adalah penting untuk mengekalkan demokrasi dan memupuk masyarakat bermaklumat.
“Apabila media bebas daripada campur tangan kerajaan, ia berfungsi sebagai pengawas, mendedahkan mereka yang berkuasa dan menyediakan rakyat dengan pelbagai sudut pandangan.
“Bagaimanapun, apabila kerajaan campur tangan, sama ada melalui penapisan, kawalan kewangan atau cara lain, ia menjejaskan peranan penting ini, yang membawa kepada liputan berat sebelah, penindasan pendapat yang berbeza pendapat dan penghakisan kepercayaan,” katanya menerusi kenyataan.
Geramm berkata, menjaga kebebasan media penting bagi memelihara kebebasan bersuara, menggalak ketelusan dan menegakkan demokrasi yang sihat.
Katanya, kod etika kewartawanan terutamanya apabila ia menentukan siapa yang menerima kelayakan media dan dengan itu akses, tidak seharusnya ditentukan oleh kerajaan.
“Pada pandangan kami, ini mewakili satu bentuk kawalan negara. Kod tersebut harus dibangunkan dan diawasi oleh pengamal media itu sendiri.
“Ini memastikan kebebasan media terjamin, dan industri media boleh beroperasi tanpa campur tangan politik yang tidak diingini.
“Ini memastikan kewartawanan kekal bebas, bertanggungjawab dan berkhidmat sepenuhnya kepada orang ramai tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa,” ujar.
Sehubungan itu, Geramm mempersoalkan kenapa tidak disegerakan pembentukan Majlis Media Malaysia yang bebas terlebih dahulu.
“Kami juga akan mengemukakan beberapa soalan mengenai perkara itu. Dalam pelancaran hari ini, Fahmi berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak daripada media yang dalam dokumen itu antara lain menyenaraikan Majlis Media Malaysia.
“Adakah majlis itu telah dibentuk melalui akta atau Parlimen? Kerana kami sebagai sebahagian daripada Majlis Media Protem Malaysia masih menunggu ia dirasmikan.
“Terdapat juga beberapa perbincangan dalam kalangan jawatankuasa protem yang mempersoal sama ada ia telah disahkan oleh kami seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Terdapat juga kekurangan penjelasan tentang bagaimana mekanisme rayuan – sekiranya seseorang gagal untuk memohon pas media – berfungsi kerana pertanyaan mengenai perkara itu daripada Jawatankuasa Protem tidak dijelaskan sepenuhnya oleh Jabatan Penerangan,” tegasnya.
Terdahulu hari ini, Fahmi melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang diyakini rakyat.
Kod Etika Wartawan Malaysia yang juga inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu menggarap lapan etika utama.
Lapan etika berkenaan adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka, dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: