Khatul Anuar Md. Jalil.

KUALA LUMPUR – Bekas penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Abd Jalil meluahkan rasa kecewa atas sikap sebuah kelab bola sepak yang tidak profesional.

Pemain berusia 26 tahun membuat pendedahan itu pada laman X peribadinya.

Menurut Khatul, dia sudah menolak tawaran daripada kelab lain yang berminat dengan khidmatnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Ini kerana dakwanya, kelab itu sudah mencapai kata sepakat dan meminta dirinya bersabar sehingga bulan lalu.

Namun hari ini, kelab tersebut telah memberi alasan bahawa mereka enggan mengambil Khatul atas dasar ragu-ragu dan risau terhadap status kesihatan dirinya.

“Lebih baik jujur dari awal,” tulisnya.

Sementara itu, kontrak penjaga gol tersebut bersama Penang FC sudah tamat pada November lalu dan Khatul menegaskan bahawa dirinya masih terbuka untuk menunggu tawaran daripada kelab lain buat masa ini.

Terdapat juga ura-ura yang menyatakan sebelum ini bahawa Khatul akan kembali bersama kelab kelahirannya, Kedah Darul Aman FC. – MalaysiaGazette

Foto Laman X Khatul Anuar.