Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto SYADILA AMARI, 23 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menafikan penugasan pihaknya ketika ini semakin mencabar sekali gus menguji kekuatan mental, fizikal serta emosi warganya semasa bertugas di lapangan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkara berkenaan perlu dikaji secara teliti oleh Kepimpinan Mes Pegawai Kanan PDRM bagi menanganinya secara berkesan dan holistik.

“Saya dapat melihat bahawa Ahli Jawatankuasa Mes boleh memainkan peranan masing masing dalam membantu warga PDRM mendepani isu-isu ini dan segala perancangan aktiviti serta pelan menaik taraf fasiliti Mes hendaklah dipergiatkan secara agresif.

“Selain itu, inisiatif baharu dalam memupuk keyakinan ahli menerusi konsep sistem barter atau timbal balik perlu disegerakan yang mana caruman yang dilakukan membawa faedah kepada para ahli dan dalam masa sama mereka mendapat keistimewaan yang sewajarnya,” katanya dalam ucapan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Mes Pegawai Kanan PDRM Ke-47 di Bukit Aman hari ini.

Ayob Khan menambah, menerusi pelan serta hala tuju yang jelas, Kepimpinan Mes Pegawai Kanan PDRM perlu cakna dengan keperluan semasa dan tuntutan para pencarum.

“Gunakanlah fasiliti yang disediakan secara maksimum bagi mengelakkan sebarang pembaziran. Saya yakin dengan penambahbaikan yang dilakukan, Mes mampu menjadi destinasi pilihan utama bagi aktiviti sosial bersama keluarga dan sahabat handai atas faktor tawaran harga yang lebih rendah berbanding kemudahan sama di luar,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau meminta warga PDRM agar mengemukakan cadangan serta idea bagi memastikan Mes Pegawai Kanan PDRM ini terus kekal relevan dalam menjaga kebajikan warganya.

“Meskipun kita terikat dengan tugas hakiki yang tidak berkesudahan, saya berharap agar semua AJK dapat memberikan komitmen yang terbaik bagi memacu kecemerlangan Mes.

“Kebolehan kita dalam multitasking akan menambahkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast