KUALA LUMPUR – Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 – agensi kembara, Rama-Rama Holidays tidak lagi tertumpu kepada pakej pelancongan sahaja.
Bahkan kini ia memperluaskan perkhidmatan untuk memenuhi pasaran acara persidangan.
Pengarah Urusan Kumpulan Mitra, Dr Fazil Khan Abdul Kadir berkata, Rama-Rama Holidays kini menawarkan pelancongan menerusi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
“Daripada lawatan kebudayaan kepada lawatan pengembaraan yang mendebarkan. Rama-Rama Holidays akan memastikan perjalanan anda tidak dapat dilupakan, dipenuhi dengan keseronokan dan penemuan, semuanya sambil mengutamakan keselesaan dan kepuasan pengembara.
“Kini kami memperluaskan perkhidmatan untuk memenuhi pasaran MICE, serta kumpulan lebih besar dan siri pelepasan terpilih, memastikan pengalaman perjalanan komprehensif untuk semua,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis Rama-Rama Holidays Grand Launching And Wholesale Appreciation Awards 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kumpulan Mitra, Tunku Datuk Seri Iskandar Tunku Abdullah serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mitra, Datin Sri Maneesah dan Tunku Idalyn.
Sementara itu, Fazil juga berkata, Rama-Rama Holidays kini menawarkan pakej percutian serendah RM430 hingga RM6,115 merangkumi pelbagai pengalaman yang memenuhi setiap bajet dan pilihan.
“Kami memberikan nilai luar biasa kepada pengembara melalui perkongsian strategik dengan pengendali pelancongan tempatan yang berpengalaman dan pembekal pelancongan yang dipercayai di seluruh Malaysia,” katanya.
Selain itu, platform tempahan syarikat memberi kuasa kepada pelancong untuk mendapatkan percutian impian mereka dengan mudah dan selesa.
“Sama ada merancang dari keselesaan komputer riba mereka atau semasa dalam perjalanan melalui telefon. Tempahan dengan Rama-Rama Holidays lebih lancar dan bebas tekanan memastikan setiap pengembara boleh memulakan pengembaraan seterusnya dengan yakin,” katanya. – MalaysiaGazette