Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan

IPOH – Wanita yang dipercayai maut di tempat duduk belakang kereta di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam dipercayai berehat tanpa membuka cermin kenderaan selepas menjaga bapanya di wad hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengawal keselamatan yang melihat seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta tersebut.

Menurutnya, dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pintu kereta berjaya dibuka dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan mendapati mangsa menjaga bapanya yang sakit di wad HRPB dan dipercayai masuk ke dalam kereta untuk berehat tanpa membuka cermin kereta.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu bedah siasat yang dijadualkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak mengamalkan tabiat tidur dalam kenderaan sewaktu enjin kenderaan dimatikan.

Tambahnya, ini disebabkan sistem pengudaraan tidak berfungsi atau ketiadaan oksigen boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang wanita berusia 20 tahun ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terkunci di parkir berhadapan Klinik Pakar HRPB di sini. – MalaysiaGazette