KUALA LUMPUR – Inisiatif sistem SMARTGPB bagi Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) yang dilaksanakan secara kolaborasi di antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka dapat melonjakkan produktiviti di negeri Johor.
Pengarah Kastam Negeri Johor, Shaharudin Abd Majid, yakin inisiatif ini mampu meningkatkan kecekapan proses serta menjimatkan masa dan kos. Sistem ini berjaya mengurangkan masa memproses pelepasan pergerakan barangan di gudang pengilang berlesen secara signifikan dari 3 hari kepada 1 minit sahaja.
Menurut beliau, impak kepada syarikat-syarikat GPB dapat dilihat melalui penjimatan kos operasi sehingga RM200 juta setahun melalui penjimatan kos penyimpanan, kos pematuhan di samping meningkatkan kecekapan dalam urusan perancangan keluar dan masuk barangan.
Pergerakan barangan daripada pengeluar kepada pelanggan menjadi lebih pantas dan cekap. Manakala, bagi pengusaha pengangkutan, pengurusan kenderaan dapat diuruskan dengan lebih sistematik.
Manfaat juga akan diterima oleh operator pelabuhan di mana tempoh masa penyimpanan kontena dapat dikurangkan. Penambahbaikan dalam ekosistem ini secara tidak langsung akan menambah baik rantaian bekalan, mengukuhkan pertumbuhan produktiviti, ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh berkata, usaha ini seiring dengan aspirasi kerajaan bagi menambahbaik penyampaian perkhidmatan awam melalui penerimagunaan teknologi digital.
Usaha ini juga akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang konduksif terutamanya melibatkan perdagangan merentasi sempadan. Seterusnya berupaya meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri.
Program Awareness dan Persediaan Pelaksanaan Sistem SMARTGPB ini telah dimulakan di Zon Utara meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis pada bulan Januari yang lalu dan kini, program ini diperluaskan lagi ke Zon Selatan meliputi negeri Johor dan Melaka.
Sebanyak 689 buah syarikat GPB berdaftar di negeri Johor sekali gus menjadi negeri Johor sebagai negeri yang paling banyak memiliki syarikat pelesen GPB. Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan diperluaskan kepada kesemua syarikat yang berdaftar di bawah JKDM.
Kerjasama erat kerajaan dan pemain industri akan terus membawa manfaat kepada jumlah peningkatan pelaburan dan seterusnya dapat melonjakkan produktiviti khususnya di negeri Johor. – MalaysiaGazette