Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) membangunkan Platform ‘Investment Checker’ atau Semakan Pelaburan yang boleh diakses semua melalu http://www.sc.com.my/investmen-checker – satu mekanisme terbaik untuk menyelamatkan rakyat daripada terjerat dalam penipuan pelaburan dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, langkah itu diambil berikutan jumlah kes penipuan pelaburan yang direkodkan membimbangkan dari segi nilai kerugiannya.

Berdasarkan rekod PDRM sebanyak 14,488 kes penipuan pelaburan telah dicatatkan sepanjang tempoh lima tahun yang lalu.

“Jika kita lihat statistik ini, sejak 2019 hingga 2023, nilai kerugian mangsa dalam kes penipuan pelaburan berjumlah RM1,340,362,562.42 (RM1.3 bilion)

“Dalam menangani peningkatan jenayah penipuan pelaburan ini satu perbincangan antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan SC telah diadakan di ibu pejabat Jabatan Komersial Bukit Aman semalam

“Kedua-dua pihaknya bersetuju bahawa satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membolehkan masyarakat membuat semakan kesahihan sesuatu tawaran pelaburan dalam apa jua bentuk baik menerusi panggilan telefon serta dalam platform media sosial.

“SC telah membangunkan Platform ‘Investment Checker’ atau Semakan Pelaburan dan platform baharu ini dapat membantu masyarakat membuat semakan kesahihan tentang sesebuah syarikat pelaburan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kedua-dua agensi ini juga bersetuju untuk terus memberikan komitmen dalam membanteras jenayah penipuan pelaburan melalui kerjasama dari sudut perkongsian maklumat, kepakaran, siasatan dan operasi. – MalaysiaGazette