KUANTAN – Mengemis duit sedekah pengunjung di pasar malam tapi mampu miliki Proton X70 Premium.
Demikian perkongsian Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Maran di laman Facebook membabitkan kisah seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) fizikal meminta sedekah di pasar malam semalam.
Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi warga maya dan memperoleh hampir 700 tanda suka dan hampir 2,000 kongsi semula sehingga pukul 12 tengah hari ini.
“Pegawai penguatkuasa JKM Maran menghampiri lelaki tersebut dan bertanyakan tujuan beliau meminta sedekah namun pertanyaan penguat kuasa JKM tidak dijawab.
“Beliau kelihatan seperti seorang yang pekak dan bisu,” katanya.
Menurut hantaran itu, berkali-kali penguat kuasa JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi tetapi tidak mendapat respon.
Setelah didesak, barulah lelaki tersebut bersuara memberitahu kad pengenalannya berada di dalam kereta.
“Percaya atau tidak, seorang yang tadinya hanya berdiri bagi meraih simpati orang ramai atas kekurangan dirinya memandu sebuah Proton X70 Premium,” katanya.
Siasatan lanjut dijalankan oleh penguat kuasa JKM mendapati dia tinggal di Balok di sini dan akan ke pasar-pasar malam untuk menjalankan aktiviti pengemisan.
Semakan juga mendapati dia merupakan penerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450 sebulan sejak tahun 2001 lagi.
“Lelaki itu juga mengaku bahawa kereta Proton X70 Premium tersebut adalah miliknya. Menurutnya hasil kutipan daripada aktiviti pengemisan beliau boleh mencecah sehingga RM500 bagi tempoh empat hingga lima jam berada di pasar-pasar malam,” katanya.
Bagaimanapun, lelaki tersebut dilepaskan dengan amaran oleh penguat kuasa JKM. – MalaysiaGazette