Tan Sri Mokhzani Mahathir

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan telah memberikan tempoh 30 hari untuk seorang lagi anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan harta.

Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam berkata, pihaknya telah memberikan tempoh lanjutan kepada Tan Sri Mohkzani selepas beliau telah memohon secara rasmi  baru-baru ini.

Azam juga mendedahkan beberapa hari lepas,  Mirzan Mahathir  telah memohon perkara sama dan telah diberikan lanjutan 30 hari pengisytiharan harta-hartanya kepada agensi rasuah itu.

Pada bulan lalu, media melaporkan, SPRM mengeluarkan perintah notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap Mirzan dan Mokhzani.

Sebelum ini dilaporkan SPRM memanggil Mirzan dan Mokhzani untuk disoal siasat bulan lepas walaupun asas sebenar siasatan mereka tidak jelas.

Pada 6 Februari lalu, Azam berkata, SPRM belum menerima sebarang maklum balas dan mengatakan Mirzan dan Mokhzani boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi itu.

Berikutan itu, kedua-dua beradik itu mengeluarkan kenyataan akhbar pada 8 Februari bagi meminta SPRM bersabar dan mengatakan adalah mustahil untuk mengumpulkan maklumat melibatkan tempoh 43 tahun.

Menurut Mirzan dan Mokhzani, SPRM telah meminta senarai aset sejak 1981, iaitu tahun pertama Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette