Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Pegawai perubatan yang diarahkan bekerja hari Sabtu dan cuti umum akan menerima Elaun Lokum dengan kadar kekal RM80 sejam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan pembayaran mengenai keputusan itu akan dibuat serta-merta.

“Saya perhatikan ramai pegawai perubatan yang memohon. Maka isu Elaun Lokum untuk doktor yang bekerja lebih masa dianggap selesai selepas kerajaan berikan kelulusan dengan kadar bayaran RM80 sejam.

“Ini berita baik yang saya ingin sampaikan kepada media dan bayaran itu akan diproses serta-merta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (berdiri, kiri) bersama Pengerusi IHH Healthcare, Tan Sri Mohammaed Azlan Hashim menyaksikan sesi menurunkan tandatangan pada Majlis MOU antara KKM dan IHH Healthcare di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan dan IHH Healthcare untuk penjagaan pesakit kanser.

Pegawai perubatan yang layak termasuk mereka yang bertugas di tiga klinik di Selangor pada hari Sabtu dan cuti umum.

Kebenaran sama turut diberikan kepada mereka yang bertugas pada hari Ahad dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Terdahulu, KKM memaklumkan pelaksanaan projek rintis pemanjangan waktu operasi klinik berdekatan hospital pada tahun lalu telah diteliti dan permohonan meneruskan pembayaran elaun lokum menjadi pertimbangan agensi pusat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2024/02/22/projek-rintis-pemanjangan-waktu-operasi-klinik-telah-diteliti-elaun-lokum-sedang-dipertimbangkan-kkm/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast