BUTTERWORTH – “Saya reda dan berdoa agar suami dijumpai dalam apa jua keadaan sekali pun”.
Demikian luah Jamaliah Abd Majid, isteri Mohd Izwan Illias, 42, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth yang dikhuatiri lemas ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) pasukan di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin di sini semalam.
Menurut suri rumah berusia 42 tahun itu, meskipun ujian yang menimpa mereka enam sekeluarga termasuk lima anaknya pahit untuk ditelan namun dia perlu terima hakikat dengan reda.
“Naluri hati saya mengatakan ada sesuatu yang tak kena malam tadi susulan tiada panggilan daripada suami sehingga pukul 11 malam sebelum tiba-tiba mendapat berita dia (suami) terjatuh dalam suami ketika membaiki bot pasukan.
“Memang rasa gelap terus dunia bila dengar khabar itu namun saya tetapkan kuatkan diri demi anak-anak sebelum bergerak ke lokasi,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jamaliah tidak menyangka perubahan kelakuan suaminya sejak dua minggu lalu adalah petanda ketua keluarga itu akan meninggal mereka buat selama-lamanya.
“Antara kelakuan pelik suami termasuk dia hilang selera makan, tidak teruja untuk membuat persiapan hari raya sedangkan selalunya perkara itu dilakukan awal sebelum puasa lagi.
“Malah dia kerap berpesan agar saya perlu berdikari tanpa dirinya atau bantuan orang lain membesarkan lima anak berusia antara empat hingga 16 tahun.
“Memang sakit untuk terima kenyataan ini kerana ia bukan mimpi tapi saya reda Allah lebih sayangkan dia (suami),” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman, 77, reda dengan ujian yang menimpa mereka sekeluarga.
“Memang bila dengar khabar itu jadi panik sapa tak sayang anak tapi benda (kejadian) nak jadi (berlaku) kita tak boleh lawan takdir.
“Cuma saya harap dia ditemui dan segala urusan dapat diselesaikan di hari Jumaat yang mulia ini,” katanya sambil menambah mangsa merupakan anak ketiga daripada enam beradik.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan empat kaedah dalam operasi mencari seorang anggotanya yang dikhuatiri lemas ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) pasukan di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin di sini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jarak pencarian dilakukan satu kilometer ke hilir serta 500 meter ke hulu dari lokasi mangsa, Mohd Izwan Illias, 42, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dilaporkan jatuh. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: