BUTTERWORTH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan empat kaedah dalam operasi mencari seorang anggotanya yang dikhuatiri lemas ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) pasukan di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin di sini semalam.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jarak pencarian dilakukan satu kilometer ke hilir serta 500 meter ke hulu dari lokasi mangsa, Mohd Izwan Illias, 42, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dilaporkan jatuh.
Jelas beliau, kaedah yang diguna pakai ketika ini adalah anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat pencarian secara selaman dan pencarian di permukaan menggunakan penarik dasar.
“Kita juga menerbangkan dron selain menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan (K9) bagi proses menghidu serta meluaskan ruang pencarian.
“Operasi pencarian bermula jam 7.30 pagi tadi dan kaedah selaman hanya boleh dilakukan sehingga jam 11 pagi susulan keadaan air tidak sesuai untuk anggota PPDA meneruskan operasi.
“Bagaimanapun, kita akan meneruskan tiga lagi kaedah lain yang dikenal pasti bagi operasi pencarian dan kita harap mangsa ditemui,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambah Nor Hisham, pihaknya berdepan kesukaran dalam operasi pencarian susulan arus deras di Sungai Perai selain ia dipenuhi sampah-sarap.
“Selain itu, lumpur pada permukaan dasar sungai lembut turut menyukarkan pasukan PPDA melakukan selaman namun ia sudah dijangka jadi pasukan melakukan selaman dengan lebih efektif,” katanya.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kejadian, Nor Hisham berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menambat bot pasukan di jeti berkenaan selepas selesai menguji enjinnya.
“Terdapat dua anggota di lokasi termasuk mangsa namun seorang lagi sedang mengemas barang di stor berhampiran sebelum terdengar mangsa menjerit namanya ‘Sam’ (nama anggota dalam bilik stor).
“Rakan setugas tersebut keluar dan dapati mangsa tiada dalam bot namun selepas pencarian gagal dalam tempoh 20 minit, anggota tersebut memaklumkan kejadian kepada pusat kawalan.
“Meskipun mangsa merupakan pengendali bot serta tidak fobia air namun saya dimaklumkan keupayaannya amat terbatas,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota bomba dikhuatiri lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin di sini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: