Seorang anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dikhuatiri lemas di Pangkalan Marin, Mak Mandin

BUTTERWORTH – Seorang anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dikhuatiri lemas di Pangkalan Marin, Mak Mandin malam tadi.

Dalam kejadian 10.10 malam, mangsa, Mohd Izwan Illias, 42, dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikatakan sedang melakukan kerja-kerja menyelenggara bot penyelamat di kawasan sungai tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Khairy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 10.25 malam sebelum pasukan bomba memulakan operasi pencarian.

“Berdasarkan maklumat mangsa sedang melakukan kerja-kerja menyelenggara bot untuk memastikan aset itu berada dalam keadaan siap siaga bagi sebarang operasi.

“Bagaimanapun ketika rakan setugasnya melakukan memeriksa mendapati bot terbabit telah hanyut daripada pangkalan jeti sebelum terdengar mangsa menjerit.

“Buat masa ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Gazette mendapati keluarga mangsa yang terdiri daripada ibu, isteri serta anak turut berada di jeti lokasi pencarian. – MalaysiaGazette