Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menikmati makan tengah hari sebelum menunaikan solat Jumaat di Restoran Rebung, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 23 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengulangi jaminan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) selamat dan menafikan ia digodam baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pangkalan data utama itu tidak bocor dengan perkara itu juga disahkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

“Insya-Allah data itu selamat. Pihak National Cyber Security Agency (NACSA), Cybersecurity, Jabatan perlindungan Data Peribadi adalah sebahagian daripada pasukan yang memastikan aspek keselamatan data dan keselamatan siber,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Negara hari ini.

Rafizi sebelum ini juga menafikan sistem PADU digodam seperti didakwa sebuah forum dalam talian.

Ia susulan kumpulan penggodam yang dikenali sebagai R00TK1T mendakwa telah mencuri data Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengajak rakyat memeriahkan Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Kuala Selangor bermula hari ini sehingga Ahad depan.

Beliau berkata, pelbagai kaunter agensi kerajaan serta program disediakan selain jualan Agro Madani.

“Termasuklah sekiranya ada sesiapa yang hadapi kesukaran mendaftar PADU, pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan membuka kaunter dan boleh bertemu (untuk) pendaftaran atau bertanyakan sebarang soalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette