Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Eksekutif pemasaran dan pengurus syarikat swasta ditahan selepas menghalang tugas polis ketika menjalankan pemeriksaan di tepi Jalan SS15/4G Subang Jaya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat menerusi kenyataan berkata, anggota polis dari Bahagian Task Force telah mengesan dua wanita berada dalam sebuah kereta dengan keadaan yang mencurigakan pada jam 11.10 malam.

“Setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa dan meminta kad pengenalan untuk tujuan pemeriksaan, kedua-duanya enggan memberi kerjasama dan salah seorang telah mengeluarkan telefon bimbit dan merakam video serta mempertikaikan tugas pihak polis,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan itu, kedua-dua wanita warga tempatan yang masing-masing bersusia 29 dan 37 tahun itu ditahan dan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai tiga bulan atau denda boleh sampai RM 1000 atau kedua-duanya.

“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk arahan lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette