Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi bercakap kepada media selepas hadir ke Program Jualan Termurah Madani ‘Barangan Basah dan Kering’ ketika di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjung Karang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 FEBRUARI 2024.

TANJONG KARANG – Pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lebih sekadar untuk menakut-nakutkan ahli-ahli Parlimen Bersatu yang sedang merancang untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, tindakan itu hanya mahu menyekat ahli-ahli Parlimen Bersatu yang lain mengikut jejak langkah pemimpin terdahulu.

“Saya rasa itu bukan nak kata ancaman, itu mungkin untuk menakut-nakutkan lagi kepada ahli Parlimen yang berfikir-fikir untuk mengubah sokongan.

“Sebab seperti yang didakwa oleh sahabat saya, Bukit Gantang, ada lagi lima hingga lapan lagi Ahli Parlimen yang akan mengubah sokongan kepada PMX.

“Apa yang dilakukan Bersatu ini sebahagian daripada agenda untuk menakut-nakutkan dan menyekat mereka yang berkira-kira untuk mengubah sokongan,” katanya pada sidang media khas di pejabat Khidmat Parlimen Tanjung Karang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini.

“Perhimpunan itu dijangka meminda Perlembagaan parti susulan tindakan enam ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris yang berkongsi surat maklumat mengenai Perhimpunan Agung Khas itu melalui laman Facebook, pada 16 Februari lalu.

“Insya-Allah maka tamatlah riwayat enam jahanam, mudah-mudahan Bersatu kembali bangkit dan terus mara,” kata Razali menerusi hantaran terbaru Facebook, Jumaat lepas.

Ketika ditanya MalaysiaGazette mengenai pindaan itu bakal menjejaskan status enam ahli Parlimen Bersatu terbabit, beliau berkata, ia tidak terpakai kepada mereka.

“Saya rasa itu tidak mengikat, tapi butirannya kita akan serahkan kepada peguam kita untuk uruskan perkara tersebut.

“Tapi Perlembagaan, dia nak ubah, patutnya yang ke depan, yang ke belakang sepatutnya tidak terikat, ikut keadaan.

“Mungkin mereka boleh ubah apa-apa, tapi akhirnya RoS akan menetapkan sama ada pindaan tersebut boleh diterima atau boleh dilakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette