ACP Mohd Zaid Hassan

KUALA LUMPUR – Reman lima individu membabitkan kes ikat dan pukul pemandu di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, disambung empat hari lagi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

“Kesemuanya disambung reman empat hari lagi sehingga 29 Februari,” katanya menerusi kenyataan ringkas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini mengesahkan polis telah menahan dua lagi individu yang terlibat dalam kejadian pada Selasa lalu.

Ini menjadikan seramai tujuh individu telah ditahan reman setakat ini.

Kedua-dua suspek itu pula direman lima hari sehingga 28 Februari ini.

Dalam kejadian baru-baru ini, lelaki berusia 42 tahun diikat dan dipukul oleh orang awam selepas kemalangan.

Kejadian berlaku selepas lelaki berkenaan yang memandu Proton Saga kelabu terbabit dikatakan terlibat dalam kemalangan dengan penghantar makanan dan beberapa kenderaan lain.

Lelaki itu dikatakan telah dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan. – MqlaysiaGazette