KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan yang meminta Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengkaji semula harga beras import menimbulkan persoalan.
Pemerhati politik, Lim Sian See berkata, ia kerana permintaan itu dibuat ketika harga pasaran beras dunia tinggi dan kejatuhan nilai ringgit.
Pada masa sama, harga utiliti dinaikkan manakala cukai-cukai baharu sedang dilaksanakan termasuk cukai servis dikenakan ke atas lojistik dan penghantaran buat pertama kali.
“Memang aku tak faham, formula songsang apa ini,? katanya dalam hantaran di Facebook.
Sebelum ini, beliau pernah mengkritik keputusan kerajaan yang tiba-tiba membenarkan Bernas menaikan harga beras import sebanyak 36.2% daripada RM2,350 per tan kepada RM3,200 per tan berkuat kuasa 1 September 2023.
“Masa itu, saya kata kerajaan tidak patut benarkan kenaikan begitu tinggi dalam sehari bagi makanan ruji pada keadaan beras tempatan tidak mampu penuhi 100% keperluan negara sebab ianya mampu akan menyebabkan ramai beralih ke beras tempatan dan menyebabkan kekurangan bekalan.
“Mana ada kerajaan yang benarkan kenaikan 36.2% dalam masa sehari bagi makanan ruji warga sendiri?,” ujarnya.
Sebaliknya, beliau menasihatkan supaya kerajaan menaikkan beras import 10 peratus setiap dua bulan sehingga mencapai sasaran 36.2 peratus supaya keadaan panik tidak tercetus.
“Tapi sudah terlambat. Kerajaan sudah tembak kaki sendiri dan keadaan menjadi huru-hara sehingga hari ini,” katanya lagi.
Hari ini, Bernas dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan meneliti keadaan harga pasaran beras antarabangsa, kos operasi dan kadar pertukaran mata wang asing dalam usaha membantu kerajaan untuk menawarkan harga beras putih import (BPI) walaupun trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.
Menurutnya, Bernas telah membawa masuk dan mengedarkan BPI sebanyak 1.03 juta tan metrik pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 46% berbanding tahun sebelumnya.
Pada masa sama, Bernas terus komited melaksanakan obligasi sosialnya dalam mengurus stok penimbal negara dan sebagai ‘Buyer of Last Resort’ atau pembeli padi yang terakhir.
Pada 22 September lalu, pemerhati politik ini mendakwa kemelut kekurangan bekalan beras tempatan dan kenaikan kos nasi di restoran adalah buatan kerajaan sendiri.
Alasannya, apabila Bernas dibenarkan untuk menaikkan harga beras import melebihi 36% dalam masa satu hari sahaja pada 1 September 2023 pada keadaan Malaysia hanya mengeluarkan 65% daripada keperluan beras.
“Maka reaksi yang sudah tentu boleh dijangka ialah peniaga dan pengguna akan rebut dan membeli beras tempatan dikawal harga secara pembelian panik. Pembelian panik ini yang merumitkan lagi keadaan.
“Sekiranya perlu naikkan harga beras import, ianya perlu dibuat secara berperingkat. Jika dinaikkan 4 kali iaitu 8.5%, 8.0%, 8.0% dan 7.5% (iaitu kenaikan RM2.15 bagi 10 kg setiap kali – sama dengan kenaikan 36% atau RM8.50 sekaligus), Rakyat dan peniaga tidak akan panik.
Malah kenaikan 7.5% terakhir mungkin tidak akan diperlukan sebab harga beras dunia sudah mula turun sejak pengumuman Bernas itu. – MalaysiaGazette
Bernas ambil harga pasaran, kos operasi, pertukaran mata wang untuk tentukan BPI