KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan meneliti keadaan harga pasaran beras antarabangsa, kos operasi dan kadar pertukaran mata wang asing dalam usaha membantu kerajaan untuk menawarkan harga beras putih import (BPI) walaupun trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.
Menurutnya, Bernas telah membawa masuk dan mengedarkan BPI sebanyak 1.03 juta tan metrik pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 46% berbanding tahun sebelumnya.
Pada masa sama, Bernas terus komited melaksanakan obligasi sosialnya dalam mengurus stok penimbal negara dan sebagai ‘Buyer of Last Resort’ atau pembeli padi yang terakhir.
“Bernas mengulangi pendiriannya dalam memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa berkaitan dalam mencari mekanisme dan langkah intervensi terbaik bagi memastikan ketersediaan bekalan beras stabil dan mencukupi untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan ini, Bernas juga menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya inisiatif Beras Putih Malaysia Madani (BPMM) diteliti dan diperhalusi melalui sesi penglibatan yang lebih terperinci oleh semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Bernas turut memuji usaha kerajaan yang mendengar dan mengambil kira semua pandangan daripada wakil kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada sesi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 pada Jumaat.
Perdana menteri dalam kenyataannya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini berkata, Bernas bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah.
Ini bagi mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan. – MalaysiaGazette
KPKM diberi masa bentang hasil libat urus beras Madani 20 Mac ini – PM