Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai cadangan Beras Putih Malaysia Madani secara lebih terperinci dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) petang tadi berkata, libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac 2024 sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

NACCOL mengadakan mesyuarat itu kerana kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5% setakat Januari 2024.

Walaupun, bekalan dan harga beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran domestik terkawal, namun kerajaan masih menerima aduan berhubung isu bekalan yang terhad.

Rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga beras putih import (BPI) di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.

“Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan Madani pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil di pasaran,” tegasnya.

“Saya turut menyinggung kepentingan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran dan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau bertindak mencampurkan kandungan BPT dan BPI untuk dijual dengan harga yang tinggi,” ujarnya.

Menurut Anwar, mesyuarat turut mendengar penjelasan terperinci cadangan pelaksanaan Beras Putih Malaysia Madani dan pada masa sama, beberapa wakil industri dan NGO antaranya yang mewakili pesawah dan pengilang turut menyuarakan beberapa
cadangan dan pandangan berhubung situasi padi dan beras negara, khususnya bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Pada masa sama, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah, sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Dalam tempoh libat urus itu, perdana menteri mengarahkan program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Jadual pelaksanaan jualan-jualan murah ini akan dihebahkan secara kerap. – MalaysiaGazette