KUALA LANGAT – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) merekodkan seramai 593,600 pekerja asing yang berdaftar dan digajikan majikan dalam pelbagai sektor di Selangor.
Ketua Pengarah, Kamal Pardi berkata, dari jumlah itu, hanya seramai 140,000 pekerja asing yang diberikan perakuan penginapan.
“Di Selangor, maklumat yang kita terima ada seramai 593,000 pekerja asing yang berdaftar dengan kita.
“Yang ada perakuan penginapan cuma 140,000 pekerja asing kami keluarkan.
“Manakala ada 453,000 pekerja asing yang belum memohon perakuan penginapan daripada JTKSM di Selangor,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengetuai Ops Gegar buruh paksa dan pemerdagangan orang di sekitar Kampung Olak Lempit, Banting, di sini.
Ops Gegar itu merupakan operasi bersepadu JTKSM bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan Perkeso.
Menurut Kamal, Ops Gegar anjuran JTKSM akan berlangsung di seluruh negara bermula hari ini hingga esok dengan mansasarkan tiga hingga empat syarikat dilawati pihaknya.
“Pada hari ini, di Selangor sahaja, tiga syarikat kita lawati dan semua negeri juga akan ada tiga atau empat syarikat dilawati.
“Kita ada 11 negeri termasuk Labuan di mana akan membuat operasi yang sama,” katanya.
Kamal juga berkata, selain pemeriksaan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), Ops Gegar juga turut memberi tumpuan kepada pematuhan majikan kepada Akta Kerja 1955 termasuk pelaksanaan gaji minimum.
“Kita akan lihat juga kepada gaji minimum, ketika ini gaji minimum yang ditetapkan ialah RM1,500. Saya lihat slip bayaran gaji tak sampai RM1,500 tapi hanya RM1,400.
“Kita akan dapatkan maklumat daripada majikan kenapa tidak dapat memberi gaji minimum , sama ada potongan dia tak datang kerja atau bagaimana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette