Tertuduh, Shahril Shahadan dibawa keluar dari kamar Mahkamah Seksyen 2 selepas membuat pengakuan tidak bersalah hari ini

KUANTAN – Seorang bekas pengurus Felda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan membabitkan kes penyalahgunaan harta agensi itu bernilai RM54,742 pada empat tahun lalu.

Tertuduh, Shahril Shahadan, 40 tahun, mengangguk faham terhadap 13 pertuduhan  yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan harta antara 23 Januari 2020 sehingga 29 September 2022 membabitkan penggunaan cek milik Felda Lepar Utara Satu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dengan sebat dan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Riffah Izzati Abdul Mutalif,  mencadangkan mahkamah agar wang jaminan sebanyak RM25,000 dikenakan ke atas tertuduh berserta beberapa syarat tambahan.

Namun peguambela yang mewakili tertuduh, Siti Azizah Mulian memohon pengurangan wang jaminan kerana tertuduh masih menanggung isteri dan empat orang anak, selain kedua orang tua termasuk ibu bapa mertua.

Selain itu, peguam itu berkata, anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau dan memberi kerjasama sepanjang proses siasatan dijalankan.

Tertuduh juga masih menetap di Felda.

Mahkamah kemudian mengenakan RM20,000 sebagai wang jaminan dan tertuduh perlu menghadirkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 5 April 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast