PATI berusia 17 hingga 25 tahun ditahan Jabatan Imigresen di Kubang Kerian, Kelantan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Cubaan sindiket penyeludupan manusia di beberapa lokasi sekitar Kubang Kerian, Kelantan berjaya ditumpas Jabatan Imigresen (JIM) pada 21 Februari lalu, rentetan hasil kejayaan operasi terdahulu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata,  JIM berjaya mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai ‘transporter’ di laluan Kubang Kerian ke Pasir Puteh dan mengarahkan pemandu menghentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

“Menyedari diekori, pemandu bertindak memecut kenderaan untuk melepaskan diri, namun pasukan berjaya menyekat kenderaan berkenaan di kawasan simpang tiga, Jalan Bukit Marak-Jalan Peringat, Bachok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPV digunakan untuk menyeludup PATI di laluan Kubang Kerian ke Pasir Puteh.

Pemeriksaan lanjut mendapati MPV berkenaan dipandu seorang lelaki warga tempatan yang disyaki sebagai transporter bersama enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan warga Myanmar, berumur antara 17 hingga 25 tahun

“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah penampungan menuju ke destinasi tertentu ditetapkan sindiket,” ujarnya.

Rusli menambah, soal siasat ke atas transporter turut membawa JIM ke sebuah premis di sekitar Demit, Kota Bharu yang dipercayai digunakan sebagai sebuah rumah transit.

Susulan itu, JIM menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an disyaki penjaga rumah tersebut.

Katanya lagi, sindiket ini telah mengubah modus operandi dengan menghindari stesen bas awam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sebaliknya, mereka menggunakan rumah penampungan untuk menempatkan sementara PATI yang baharu diseludup sebelum dipindahkan menggunakan transporter ke destinasi tertentu sekitar Seremban dan Kuala Lumpur.

“Transporter akan dibayar antara RM1,000 hingga RM1,200 bagi setiap pergerakan tertakluk kepada jarak perjalanan,” jelasnya.

Kesemua PATI termasuk warga tempatan yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan di Kota Bharu untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast