Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan, AirAsia Aviation Group, Kesavan Sivanandam, di Chennai baru-baru ini turut sama adalah Saravana Kumar Kumaravasagam, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India, dan Ruzaidi Abd. Rahim, Pengarah Pelancongan Malaysia di India Selatan dan Sri Lanka.

KUALA LUMPUR – AirAsia komited menjadikan perjalanan udara lebih lancar dan menawarkan tambang pada harga berpatutan antara Malaysia dan India dengan menawarkan 14 laluan untuk  mengembangkan rangkaiannya di India.

Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan, AirAsia Aviation Group, Encik Kesavan Sivanandam berkata, melalui rangkaian yang kukuh, AirAsia telah menerbangkan lebih lima juta tetamu antara India dan Malaysia dalam tempoh enam tahun lalu. 

Jelasnya, jumlah itu dijangka meningkat berikutan pengumuman kerajaan tentang kemasukan tanpa visa bagi warganegara India ke Malaysia.

“Kita di AirAsia agak teruja dan pada masa sama sangat komited dengan pengumuman kerajaan untuk terus meningkatkan industri pelancongan.

”Apatah lagi dengan pengumuman inisiatif tanpa visa oleh kerajaan Malaysia dan berharap ia akan menawarkan lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya di Chennai, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, syarikat penerbangan itu berbesar hati apabila dapat mendemokrasikan perjalanan udara dan menjadikannya mudah diakses di salah satu pasaran terbesar iaitu India.

“Kami berharap untuk terus merealisasikan impian semua untuk terbang ke destinasi impian mereka dan pengembangan luas ke India merupakan bukti usaha kami untuk memastikan perjalanan udara boleh dicapai oleh semua.

“Lebih dari dua dekad yang lalu, AirAsia telah memperkenalkan tambang perjalanan udara berpatutan di seluruh rantau ini dan kini kami berbangga untuk terbang ke bandar-bandar utama di India dari dua hab dan berharap untuk terus mengembangkannya,” ujarnya.

Poster AirAsia

Sempena meraikan pengembangan rangkaiannya, AirAsia menawarkan tambang promosi ke India bermula RM249 sehala untuk semua penerbangan dari Kuala Lumpur.

Promosi ini berlangsung mulai hari ini hingga 10 Mac 2024, untuk perjalanan sehingga 30 Mac 2024.

Dari Kuala Lumpur, AirAsia mengendalikan 56 penerbangan mingguan bagi penerbangan jarak dekat AirAsia Malaysia ke Trivandrum, Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, Jaipur, Visakhapatnam dan Ahmedabad.

Bagi penerbangan jarak sederhana, AirAsia X Malaysia (kod penerbangan D7) mengendalikan dua laluan secara terus dari New Delhi dan Amritsar ke Kuala Lumpur dengan lapan penerbangan mingguan manakala dari Bangkok sebanyak 50 penerbangan mingguan ke Guwahati dan Lucknow melalui Thai AirAsia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast