Gambar dari video tular menunjukkan penduduk menunggu barang bantuan yang digugur dari udara.

GAZA CITY – Beribu-ribu rakyat Palestin yang menjadi pelarian akibat serangan berterusan Israel bergegas ke kawasan pantai selepas sebuah pesawat menggugurkan bantuan makanan dari udara.

Media melaporkan, 45 tan bantuan kemanusiaan yang tersadai di Mesir telah digugurkan di kawasan utara dan tengah Semenanjung Gaza dengan penyertaan Emiriah Arab Bersatu dan Jordan.

Dalam visual yang tular di media sosial, kelihatan penduduk ketawa dan ada yang mengalirkan air mata gembira melihat berpuluh tan bantuan yang sangat diperlukan gugur dari udara.

Orang ramai kelihatan berusaha untuk mendapatkan kotak bantuan yang jatuh di kawasan laut dengan menggunakan bot kecil.

Akibat kempen pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, rakyat Gaza berada di ambang kebuluran selepas negara Zionis menyekat kemasukan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.

Kira-kira dua juta rakyat Palestin menjadi pelarian selepas dipaksa keluar daripada rumah masing-masing yang terletak di utara, tengah dan selatan Gaza dan bertumpu di Rafah yang terletak di hujung selatan bersempadan dengan Mesir.

Peningkatan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak dan wanita hamil serta menyusukan bayi di Semenanjung Gaza menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan mereka.

Israel telah melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza berikutan serangan 7 Oktober oleh kumpulan Hamas dan membunuh hampir 30,000 penduduk. – MalaysiaGazette