BRATISLAVA – Tujuh orang terbunuh dan lima cedera selepas kereta api ekspres antarabangsa bertembung dengan sebuah bas di persimpangan dekat selatan Slovakia.
Enam yang maut adalah penumpang bas dan mereka yang terbunuh melecur teruk sehingga mayat sukar dikenalpasti.
Menteri Dalam Negeri, Matus Sutaj Estok berkata, kemalangan berlaku berhampiran bandar Nove Zamky, kira-kira 80km (50 batu) timur ibu kota Bratislava, kira-kira jam 5 petang waktu tempatan.
Kira-kira 200 orang berada di dalam kereta api dan sembilan di dalam bas semasa kejadian berlaku.
Bas berkenaan dilaporkan terbelah dua akibat dirempuh kereta api.
Pemandu kedua-dua bas dan kereta api adalah antara yang cedera.
Gambar menunjukkan lokomotif terbakar dan penumpang berjalan ke tempat selamat di sepanjang landasan.
Difahamkan kereta api EuroCity 279 sedang bergerak dari Prague ke Budapest melalui Bratislava ketika nahas terjadi.
Kereta api itu dikendalikan oleh lokomotif Czech Railways yang menarik gerabak Keretapi Slovak.
Menurut jurucakap syarikat Arriva, pemilik bas berkenaan, pemandunya mempunyai pengalaman lebih 30 tahun.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan, dengan beberapa laporan mengatakan lampu berkelip dan penghadang di persimpangan aras tidak berfungsi berikutan ribut baru-baru ini.
Laporan saksi lain pula mengatakan lampu berfungsi, penghadang telah diturunkan, dan kenderaan sedang menunggu di belakang.
Bagaimanapun, kata mereka, halangan itu kemudiannya dinaikkan, dan bas terus melintasi apabila ia dilanggar oleh kereta api ketika itu sedang dipandu laju.
Kemalangan tersebut menyebabkan bahagian hadapan kereta api itu terbakar. – Agensi