SJR oleh Bahagian Trafik IPD Ampang Jaya semalam di kawasan lorong motosikal Tol Bukit Teratai, Ampang Jaya.Ihsan IPD Ampang Jaya

KUALA LUMPUR – Polis menyita 10 kenderaan dalam sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan di Plaza Tol Bukit Teratai, Ampang Jaya, Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seramai lapan orang anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dengan diketuai oleh seorang pegawai kanan telah menjalankan operasi tersebut pada jam 6 petang.

“Semasa sekatan jalan, pasukan operasi menahan dan memeriksa sebuah motosikal yang ditunggang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan badan terhadap individu berkenaan tidak menjumpai sebarang benda salah namun semakan lanjut dengan menggunakan alat Mcops ke atas nombor kad pengenalan individu tersebut mendapati terdapat satu report (laporan) berstatus ‘Wanted’ (dikehendak) di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 bersabit dengan kes dadah di Kampung Baru Subang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, individu berkenaan telah dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, sepanjang operasi berkenaan dijalankan seramai 62 individu dan juga 62 buah kenderaan telah diperiksa dalam sekatan jalan itu.

“Hasilnya, sebanyak 49 keping saman telah dikeluarkan terhadap mereka atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.

“Dalam operasi sama, 10 buah kenderaan telah disita di bawah Sek. 64(1) APJ 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua kenderaan yang disita telah dibawa ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette