Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai lebih RM11,000 untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita warga Bangladesh yang memiliki pasport palsu.

Koperal Muhammad Fariduddin Ibrahim, 43, Sarjan Mohd Hashifuddin Md Nadirin, 39, Lans Koperal Mohamad Suhairi Hashim, 30, dan Koperal Mathew Kilat, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan niat bersama menerima suapan iaitu wang tunai RM11,700 daripada warga Bangladesh Md Masud Abdul Latif sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Baishaki Aktar Mim kerana memiliki pasport palsu di Balai Polis Jalan Tun Razak pada 9 malam, 21 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Keempat-empat tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersama-sama menerima wang tunai RM11,700 daripada lelaki sama tanpa balasan, dan mereka tahu ia ada kena mengena dengan kerja-kerja rasmi mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Afiqah Ab Razak manakala Muhammad Fariduddin diwakili peguam AS Dhaliwal, Mohd Hashifuddin diwakili peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed manakala Mohamad Suhairi diwakili peguam Salim Bashir dan Mathew tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Afiqah menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan kesemua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai manakala ketiga-tiga peguam dan Mathew memohon jaminan rendah.

Mahkamah yang menetapkan sebutan kes pada 25 April ini membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan.

— BERNAMA