Mohamed Usuf menunjukkan gambar tangkapan suspek bagi kes judi dan persundalan dalam tempoh 10 hari di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Hanya dalam tempoh 10 hari bermula 5 Februari lalu, seramai 170 suspek yang terlibat dalam kegiatan perjudian dan persundalan ditahan menerusi Op Limau yang dijalankan di sekitar Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, daripada jumlah itu, 97 suspek terdiri daripada warga tempatan serta warga asing yang berusia lingkungan 18 hingga 75 tahun ditahan membabitkan serbuan Op Dadu.

Jelas beliau, sebanyak 14 serbuan dilakukan dalam tempoh tersebut yang mana 10 membabitkan serbuan judi dalam bangunan manakala empat lagi di kawasan bebas.

“Polis merampas wang tunai berjumlah RM40,197 selain pelbagai barangan yang disyaki digunakan dalam aktiviti perjudian itu ,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohamed Usuf (tengah) bercakap pada sidang media.

Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi terbuka 1953.

Bagi serbuan Op Noda pula, Mohamed Usuf berkata, sebanyak 46 serbuan dilaksanakan ke atas pusat hiburan tanpa lesen termasuk yang memberi khidmat pelayan serta pelacuran.

“Seramai 73 suspek tempatan dan warga asing yang terdiri daripada 26 lelaki serta 47 perempuan ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Kita juga merampas wang tunai berjumlah RM3,345 serta beberapa barangan yang disyaki hasil kegiatan haram itu.

“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi maksud persundalan; Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan; Seksyen 6(1)(c); Seksyen 15 (1) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Usuf menegaskan, sebanyak 264 serbuan Op Dadu dilakukan pihaknya sejak Januari lalu sehingga semalam dengan jumlah tangkapan seramai 376 individu.

“PDRM sentiasa komited dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam penganjuran atau menjalankan aktiviti perjudian serta pusat hiburan tanpa lesen mengikut undang-undang sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette