Kumar ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Misi Jelajah Ramadan MyFundAction di pekarangan Masjid Jamek Bandar Baru Uda hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis mengingatkan agar ahli keluarga terutama kakak kepada Allahyarham Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella supaya menghormati prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

Ini terutama dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dalam media sosial yang boleh mengganggu proses itu.

Ketua Polis Johor, Komisioner  M Kumar berkata, tindakan kakak Allahyarham itu sebelum ini bukan sahaja tidak wajar malah dilihat seperti mendahului mahkamah.

“Suspek, Mohammad Haikal Mahfuz sudah pun dituduh di mahkamah pada 24 Januari lalu. Saya rasa selepas ini proses mahkamah (akan berjalan), mahkamah akan buat keputusan jadi kita jangan adili sesiapa.

“Biarkan mahkamah membuat keputusan.Hormati prosiding dan segala bentuk keputusan pihak berkuasa,” katanya.

Kumar berkata, semua pihak seharusnya memberi ruang kepada perbicaraan yang akan berjalan di mahkamah sebelum kes diputuskan.

“Siasatan dijalankan dan suspek telah dituduh. Sebagai orang awam, kita ada mahkamah yang mulia, perbicaraan akan berlangsung dan setiap yang terlibat akan diberi peluang untuk defend diri dia, bela diri dia dan biarlah mahkamah yang mulia buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Misi Jelajah Ramadan MyFundAction di pekarangan Masjid Jamek Bandar Baru Uda hari ini.

Terdahulu kakak kepada Allahyarham Bella dikatakan lantang bersuara di media sosial berkaitan kematian adiknya itu.

Kumar menegaskan, pihaknya akan memantau semua hantaran yang dilakukan ahli keluarga Allahyarham dalam media sosial sebelum memberi respon lanjut.

Mahkamah menetapkan 11 Mac ini sebagai sebutan semula kes berkenaan bagi serahan laporan forensik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast