Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain Foto MOHD ADZLAN, 04 MAC 2024.

KLANG – Mana-mana penganjur perhimpunan aman tidak memerlukan permit untuk berhimpunan tetapi dikehendaki mematuhi peraturan dengan memberikan notis pemberitahuan dalam tempoh lima hari sebelum mengadakan sesuatu perhimpunan.

Malah mereka juga dinasihati mengambil kira dan menghormati hak kepentingan awam di negara ini dan tidak menjejaskan ketenteraman secara am.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perkara itu jelas termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan penganjur perlu mengisi borang permohonan yang mengandungi 14 soalan berkaitannya.

Seksyen 9 (1) mengkehendaki penganjur menyerahkan notis pemberitahuan lima hari sebelum menganjurkan sesebuah perhimpunan.

Manakala Seksyen 10 dalam APA 2012 pula meminta penganjur mengisi borang yang mengandungi 14 soalan untuk dijawab bagi tindakan lanjut polis.

“Sekiranya notis pemberitahuan tidak dibuat maka tindakan boleh diambil kepada mana-mana penganjur perhimpunan atas tindakan melanggar peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Kunci Perumahan Kuarters anggota polis di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang petang hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Polis telah mengubahsuai dua blok rumah kuarters anggota polis Balai Polis Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang dengan kos peruntukan berjumlah RM1.9 juta yang mana 20 unit rumah digabung dan dijadikan 10 unit yang lebih selesa dan kondusif.

“Jangan dua hari lagi, dia (penganjur) bagi tahu dengan WhatsApp dan kita tengok Facebook. Kita pun hendak mengatur juga anggota, tentukan lalu lintas berjalan dengan lancar.

“Kita tidak menyekat hak dan kebebasan orang berhimpun, tetapi pada masa yang sama perlu juga menjaga dan mengimbangi kepentingan orang awam yang ada di situ yang hendak berurusan, pergi kerja atau sebagainya, itu mustahak,” ujarnya lagi.

Beliau menjawab demikian sebagai mengulas tentang komen bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Razarudin ‘menyekolahkan’ pasukan polis bahawa permit tidak lagi diperlukan untuk perhimpunan.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Razarudin menambah, berdasarkan APA 2012 juga memaklumkan hukuman dan tindakan sekiranya tidak dipatuhi peraturan akta itu.

“Saya faham, umum faham bahawa perkara 10 berkenaan hak asasi untuk berhimpun tetapi pada masa sama, perkara 10 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa Parlimen boleh buat apa undang-undang bagi mengimbangi hak asasi dan kepentingan awam serta keselamatan nasional agar sentiasa terpelihara.

“(Semua) ini menentukan bahawa ketenteraman awam dan keselamatan nasional ini diimbangi di antara hak asasi. Cuma Ketua Polis Daerah mungkin sebut notis pemberitahuan itu sebagai permit. Mungkin ada kesilapan di situ,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, PDRM juga mempunyai hak dan kuasa dalam menentukan syarat-syarat sesuatu notis pemberitahuan termasuk pengubahan lokasi penganjuran selain ambil kira faktor tidak mendapat kebenaran tuan tanah (tempat penganjuran perhimpunan aman).

“Dakwaan Maria Chin kononnya empat kali cuba serahkan notis pemberitahuan tetapi tidak dilayan polis itu kita akan semak kemudian,” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette