Ismail Abd. Muttalib

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd Muttalib (Perikatan Nasional) membantah cadangan mengiktiraf Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan  Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Beliau menyifatkan cadangan tersebut secara tidak langsung mengiktiraf gerakan komunis di kampung berkenaan.

“Cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Unesco, apa rasionalnya?

“Tahu tak sejarah Kampung Baru Cina hasil perjuangan ataupun langkah tindakan komunis menganggu negara kita. Kalau dijadikan tapak warisan bermakna mereka ini bersetuju mengesahkan perjuangan komunis, tidak baik sebab itu sejarah hitam diiktiraf perjuangan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (Pakatan Harapan) kemudian mencelah dan mempersoalkan kenyataan tersebut.

akil rakyat DAP itu berkata, kenyataan berkenaan berisiko dan mengundang kebencian antara kaum dan wajar ditarik balik.

“Maran bangkitkan perkampungan Cina dalam masa yang sama mengeluarkan kenyataan komunis, apa kaitannya? Ini adalah perkataan mencetuskan perasaan sakit hati di antara kaum. Kenapa? Tarik balik kerana ini menghina perkampungan Cina,” katanya.

Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) turut tidak berpuas hati dan mencelah.

Katanya, Ismail sepatutnya menyokong usaha pengiktirafan tersebut kerana ia usaha untuk membangunkan negara.

Turut menyuarakan bantahan terhadap kenyataan Ahli Parlimen Maran itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzah (PH) yang mendakwa kenyataan Ismail berunsurkan fitnah.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng kemudian mengarahkan supaya Ahli Parlimen Maran menarik balik kenyataannya.

“Mengikut peraturan 39(c) perkataan yang digunakan Maran menaikkan perasaan sakit hati dan permusuhan satu kaum dengan yang lain dalam Malaysia jadi saya harap tarik balik,” katanya.

Bagaimanapun Ismail mempertahankan kenyataannya yang bersifat fakta sejarah.

Namun beliau hanya menarik balik kenyataannya yang dianggap Ahli Parlimen yang lain sebagai kasar.

“Fakta sejarah saya tidak akan tarik balik kalau ada perkataan saya yang kasar saya tarik balik, puas hati?,” katanya.

Isu cadangan untuk mewartakan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan baru-baru ini mencetuskan pertikaian.

Cadangan itu dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. – MalaysiaGazette