Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Sarawak menjadi pilihan pertama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk program Semarak Kampus Madani atau Jerayawara KPT yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.

Program ini merupakan siri jelajah ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk Universiti Awam, Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti di 16 zon seluruh negara.

Menurut kenyataan KPT, program itu akan dihoskan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti  (JPPKK) serta beberapa lagi institusi.

“Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama pengurusan tertinggi KPT dijadualkan untuk bermalam di kolej kediaman serta melihat situasi sebenar di peringkat universiti.

“Berkonsepkan program turun padang, Zambry bersama timbalan Menteri KPT akan mendengar sendiri keluhan pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi.

“Hal ini bertujuan untuk memastikan aspek kebajikan terutamanya bagi para pelajar dan kakitangan dititikberatkan sekaligus mengeratkan hubungan antara kepimpinan KPT dan warganya,” menurut kenyataan itu.

Program ini juga diharapkan untuk menjadi satu medan untuk mendengar segala isu yang timbul seterusnya mewujudkan usaha menyelesaikannya.

Jerayawara KPT merupakan cetusan idea Zambry semasa Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 di Universiti Malaya, 12 Januari lalu.

Pelbagai program telah direncanakan dan kesemua kumpulan komuniti institusi diraikan dalam siri jelajah ini bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dan kolaborasi antara Kementerisan dengan Universiti Awam (UA), Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti serta pemegang taruh pendidikan tinggi di peringkat Kerajaan Negeri. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast