Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

SHAH ALAM – Mungkin ada sesuatu yang ‘panas’ berlaku pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15.

Sumber sebuah parti politik mendakwa, terdapat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang akan membuat pengistiyaran menyokong kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, tindakan ADUN itu sama seperti yang dilakukan enam Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita sedang bercakap bukan seorang ADUN, mungkin ada beberapa wakil lagi yang datangnya dari parti Bersatu dan juga bekas UMNO yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya lepas.

“Situasi ini agak sama, masing-masing mahu menyokong kerajaan negeri dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kerana mahu memastikan isu pengundi mereka terbela serta segala janji kepada rakyat tertunai. Bergelar pembangkang bukan senang, rakyat pula susah untuk lima tahun akan datang.

“Mereka ini bukanlah tergolong dalam kalangan yang mahu lompat parti dan sebagainya, mereka tetap setia dengan parti masing-masing namun pada masa sama demi kelangsungan pengundi selain kesejahteraan negeri Selangor, tindakan sokongan itu di isytihar secara terbuka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MalaysiaGazette difahamkan tindakan ADUN ini juga berkait dengan isu dalaman Perikatan Nasional (PN) Selangor yang diterajui oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sumber memaklumkan, segelintir wakil rakyat pembangkang tidak gembira kerana terdapat kem-kem tertentu selain sikap acuh tidak acuh serta terdapat agenda peribadi sehingga objektif utama wakil rakyat terbantut.

Sementara itu, seorang wakil rakyat pembangkang yang enggan dikenali berkata, tindakan mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri berlaku kerana tidak ada persefahaman antara ketua dan pimpinan dibawahnya.

“Sukar hendak gerak, akhirnya kita kena fikir juga bagaimana untuk bela nasib pengundi, nasib rakyat. Tidak boleh asyik berpolitiking dan bantah semuanya, ini bukan soal peruntukan sahaja tetapi keseluruhan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast