Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan kertas siasatan terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Raja-Raja Melayu kepada Jabatan Peguam Negara pada hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses mengambil keterangan daripada Presiden Pas itu diselesaikan semalam.

“Sepatutnya hari ini merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (tindakan lanjut),” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Menurut Razarudin, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada jam 2.30 petang semalam, dua Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil keterangan daripada Ahli Parlimen Marang itu di ibu Pejabat Pas Pusat, Jalan Raja Laut, di sini,

Abdul Hadi disiasat polis yang didakwa mengeluarkan kenyataan bertajuk “Ketinggian Islam wajib dipertahankan” pada 20 Februari lalu.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu. – MalaysiaGazette