Warga China yang hilang, Huang Tong berusia 60 tahun.

KUALA LUMPUR – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Februari yang lalu di ibu negara.

Pemangku Pegawai Pusat Media, Inspektor Mazliyana Abd Latiff berkata, orang hilang berkenaan merupakan warga China bernama Huang Tong dan berusia 60 tahun.

 “Pada 25 Februari yang lalu, polis telah menerima laporan daripada seorang wanita tentang kehilangan suaminya (orang hilang) yang datang ke Malaysia pada 22 Februari atas urusan perniagaan.

“Wanita tersebut memaklumkan bahawa kali terakhir beliau menghubungi suaminya (orang hilang) adalah pada 24 Februari lalu dan menyedari kehilangan suaminya sebelum membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan.

“Suami beliau pula dijadualkan untuk pulang semula ke China pada 8 Mac yang akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isteri orang hilang itu kini sedang berada di China, ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai individu tersebut diminta menghubungi Sarjan Aktiviti Balai Polis Tun.H.S.Lee, Sarjan Mohd Al Hafis Jaffar di talian 03-9221 222 atau berkunjung ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette