Ketua Polis Daerah Klang Utara, S. Vijaya Rao. Foto WAN NABIL NASIR, 14 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Berpantang maut sebelum ajal!

Itu yang dialami seorang penyelia syarikat kawalan keselamatan apabila cedera selepas ditembak di bahagian tangan kanan, rusuk kanan dan bahu kanannya dalam kejadian di Jalan Mokhtar, Kapar, Klang Utara semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, S. Vijaya Rao berkata, mangsa yang berusia 46 tahun telah ditembak oleh suspek yang tidak dikenali.

Katanya, polis mengetahui mengenai mangsa selepas mendapat aduan dari Klinik Kesihatan Kapar yang memaklumkan menerima dan merawat satu pesakit ditembak di bahagian badan.

“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian mendapati, suspek telah menembak mangsa dari jarak dekat dengan menaiki sebuah kereta jenis tidak pasti warna hitam.

“Setakat ini, seramai lima lelaki tempatan berumur diantara 40 hingga 45 tahun telah ditangkap untuk membantu siasatan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cuba bunuh),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut S. Vijaya, mangsa kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan keadaannya stabil.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, ASP M. Sathiyaseelan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette